KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,042 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan pelakunya melibatkan penjaga, direkodkan dalam tempoh lima tahun dari 2021 hingga November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjaga itu merangkumi ibu bapa, guru, pengasuh, bapa angkat atau keluarga angkat.
Mengikut pecahan, sebanyak 418 kes dilaporkan pada 2021, 511 kes (2022), 634 kes (2023), 667 kes (2024) dan 812 kes setakat November lalu. Data menunjukkan trend kes meningkat.
Terdapat dua tindakan undang-undang iaitu Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 biasanya di bawah Seksyen 5 hingga Seksyen 15.
“Selain itu, Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 375, 376, 377 dan 354. Dari segi kuasa undang-undang, kerana melibatkan kanak-kanak, ia di bawah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, D11 Bukit Aman,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab Senator Datuk Nelson Angang berhubung statistik kes keganasan dan kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak dengan pelakunya adalah penjaga.
Beliau berkata, untuk mendapatkan bukti daripada kanak-kanak bukan perkara mudah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai Pusat Temubual Saksi Kanak-Kanak yang berbeza tidak seperti bilik sosal siasat bagi mendapatkan kenyataan mereka.
“Perlu ada teknik temu bual khas dan rakaman video. Pertama, trauma perlu dipulihkan dahulu sebelum mereka boleh bercakap. Keterangan pula mestilah boleh diterima di mahkamah. Kita juga bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.
Bagi kes keganasan terhadap kanak-kanak melibatkan penjaga pula, katanya, sebanyak 4,079 kes direkodkan untuk tempoh 2021 hingga November lalu dengan pecahan 707 kes (2021), 502 kes (2022), 612 kes (2023), 1,201 kes (2024) dan 1,057 kes (sehingga November lalu). – KOSMO! ONLINE














