fbpx
GAMBAR fail sejumlah kenderaan yang sesak di Jakarta. - AFP

Jakarta catat 2 juta kes jangkitan pernafasan akibat pencemaran udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Jakarta mencatatkan hampir dua juta kes penyakit pernafasan pada tahun ini yang didorong oleh pencemaran udara, lapor akhbar Arab News semalam yang memetik kenyataan pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kesihatan jangka panjang penduduk di bandar raya paling padat di dunia itu.

Jakarta secara konsisten berada dalam senarai bandar raya paling tercemar di dunia apabila ia kerap merekodkan paras PM2.5 pada tahap tidak sihat. 

Istilah saintifik PM2.5 itu merujuk kepada zarah terampai, partikel pepejal dan cecair yang berada di udara serta boleh disedut masuk ke paru-paru sehingga menyebabkan penyakit pernafasan.

Menurut Agensi Kesihatan Jakarta, terdapat lebih 1.9 juta kes jangkitan pernafasan akut dari Januari hingga Oktober tahun ini.

“Berdasarkan data kami, kes jangkitan pernafasan akut meningkat dari pertengahan tahun dan memuncak pada Oktober. Kami juga mendapati bahawa kanak-kanak bawah umur dua tahun menyumbang lebih 19 peratus daripada jumlah kes.

“Terdapat lebih banyak kes (secara keseluruhan pada 2025) berbanding 2024,” kata ketua agensi itu, Ani Ruspitawati kepada Arab News.

Katanya, pencemaran udara, kepadatan penduduk yang tinggi dan pergerakan manusia merupakan antara faktor risiko kepada kadar jangkitan pernafasan akut yang tinggi di Jakarta.

Kes-kes penyakit pernafasan itu hanya direkodkan dalam kalangan 11 juta penduduk kawasan ibu negara dan tidak merangkumi keseluruhan 42 juta orang yang tinggal di Greater Jakarta.

Jakarta telah disenaraikan sebagai bandar raya paling ramai penduduk di dunia dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan bulan lepas.

Namun bandar-bandar satelit di ibu negara itu seperti Tangerang Selatan juga berada dalam senarai bandar raya paling tercemar sejak beberapa tahun lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN