LIVERPOOL – Liverpool dikatakan sudah bersedia mengharungi kehidupan tanpa Mohamed Salah dengan menyasarkan antara penyerang muda paling menarik di dunia, Yan Diomande dari Red Bull Leipzig.
Pemain sayap kanan berusia 18 tahun dari Ivory Coast itu mencipta sensasi apabila meledak hatrik buat Leipzig membelasah Eintracht Frankfurt dalam aksi Bundesliga minggu lalu.
Menariknya, perlawanan itu turut disaksikan oleh Ketua Eksekutif Liverpool, Michael Edwards dan ketua peninjau kelab berkenaan, Barry Hunter.
Ia sekali gus memberi bayangan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mungkin sudah menemui pengganti kepada Salah yang mencipta kontroversi dengan meluahkan kekecewaannya selepas tiga kali diletakkan di bangku simpanan.
Bagaimanapun, ia tidak mudah dan Liverpool sekali lagi perlu mengeluarkan dana yang besar, dianggarkan sekitar €100 juta (RM478.57 juta) disebabkan Diomande masih memiliki kontrak bersama Leipzig hingga 2030.
Difahamkan, perpindahan itu dijangka tidak berlaku dalam jendela bulan depan kerana Diomande baru berhijrah ke Jerman daripada kelab Sepanyol, Leganes dengan harga cuma €20 juta (RM95.71 juta) pada Julai lalu.
Leipzig juga tidak bercadang melepaskannya seawal Januari kerana factor mungkin beraksi di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selain kehilangan ramai pemain utama musim lalu seperti Benjamin Sesko dan Xavi Simons.
Selain Liverpool, Manchester City, Arsenal, Tottenham Hotspur, Real Madrid, Barcelona, Paris Saint-Germain dan Atletico Madrid antara yang sedang memantau perkembangannya. – AGENSI














