SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan siasatan berhubung kematian ibu dan anak angkatnya selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di rumah mereka Taman Rathna, Butterworth, pagi tadi.
Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya bimbang kemungkinan terdapat unsur lain dalam tragedi yang mengorbankan nyawa dua mangsa tersebut.
“Belum pasti (punca kebakaran). Buat masa sekarang, kematian mangsa akibat terperangkap dalam kebakaran.
“Kita panggil Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM bagi membantu kerja-kerja siasatan kebakaran kerana kita bimbang kemungkinan ada unsur lain di sebalik tragedi berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, kerja-kerja ‘overhaul’ sudah selesai dijalankan dan lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) dan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, mayat mangsa yang rentung telah dibawa ke Hospital Kepala Batas manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya. – KOSMO! ONLINE














