KUALA TERENGGANU – Projek pembinaan 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPK) dibina Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi kemudahan mangsa banjir berjalan lancar dengan satu daripadanya bakal siap sepenuhnya pada bulan depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Banjir) Nadma, Hussain Moh berkata, PPK yang bersedia untuk beroperasi tersebut terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Johor.
“PPK SK Banggol Peradong, Manir di sini pula dijangka siap pada bulan Julai tahun depan.
“Selain itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dinaik taraf iaitu SK Matang, Hulu Terengganu telah siap dan bersedia menerima kemasukan mangsa sekiranya berlaku banjir gelombang seterusnya pada masa terdekat,” katanya di Batu Burok di sini semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri Terengganu yang disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Datuk Ab. Rasid Jusoh.
Hussain berkata, setiap PPK yang dibina anggaran kos RM8 juta tersebut boleh menampung kira-kira 500 mangsa banjir pada satu-satu masa.
Beliau berkata, PPK terbabit dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan makan, surau, bilik rawatan dan serta orang kurang upaya dan warga emas.
“Pembinaan PPK tersebut bertujuan mengurangkan gangguan terhadap perjalanan sekolah seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Ia disebabkan sebelum ini kira-kira 50 peratus PPS yang digazetkan merupakan sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














