fbpx
Adam Radlan

Adam Radlan sedia bantu siasatan projek Lebuh raya MEX 2 – SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dijangka tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah menghubungi Adam baru-baru ini dan individu berkenaan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh.

“Oleh kerana hari itu dia tidak berada dalam negara, jadi kita perlukan bantuan beliau. Kini kita sudah dapat berhubung dengan beliau,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Puncak Alam hari ini.

Menurut Azam, peguam Adam daripada firma Tan Sri Shafie Abdullah turut menghantar surat kepada SPRM untuk memastikan komitmen anak guamnya tampil memberi keterangan.

“Dalam tempoh terdekat ini, ada perkara yang kita berhubung dengan dia dan dia sudah memberi maklum balas. Saya tidak ingat tarikhnya, tetapi dia akan datang untuk memberi keterangan,” ujarnya.

Sebelum ini, SPRM mengesan Adam bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), atau MEX II, dari Persimpangan Putrajaya ke KLIA.

Adam turut pernah disiasat dalam projek Jana Wibawa namun dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas SPRM bersetuju menawarkan kompaun RM4.1 juta berdasarkan representasi pihak pembelaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengenai tawaran kompaun berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN