MUNICH – Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany memuji prestasi ‘ubi’ muda, Lennart Karl selepas membantu pasukan untuk melakar kemenangan penting 3-1 ke atas Sporting Lisbon dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Lebih menarik, Karl yang berusia 17 tahun melakar sejarah apabila menjadi pemain termuda dalam saingan UCL yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas meledak satu gol di Stadium Allianz Arena.
Menurut Kompany, prestasi Karl bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan layak dilabel sebagai ‘permata’ baharu pasukan pada saingan musim ini.
“Karl sentiasa berbahaya tetapi dia pernah bermain lebih baik sebelum ini. Namun, apa yang saya suka mengenai corak permainannya adalah dia sentiasa muncul bila diperlukan.
“Bila dapat peluang, dia berjaya sudahkan dengan baik dan mentaliti seperti itu cukup penting buat kami,” kata pengendali dari Belgium itu. – AGENSI














