PETALING JAYA – Pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun mengakui sebak apabila terbaca perkongsian orang ramai tentang kebaikan dan kemuliaan hati Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam hantaran di Facebooknya, Ustazah Asma’ berkata perkongsian sifat Allahyarham mungkin berbeza dengan persepsi atau penilaian sesetengah pihak terhadap figura politik lantang itu.
“Tolak tepi soal politik, cuba baca setiap tangkapan skrin di bawah, hati yang sukakan kebaikan pasti akan terusik, bila saya baca satu demi satu, tanpa sedar air mata pun boleh menitik,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa pengajaran besar yang boleh diambil daripada sisi peribadi Allahyarham, antaranya hakikat bahawa setiap kebaikan walau sekecil zarah tidak akan sia-sia di sisi Allah.
“Kedua, lakukan sebanyak mungkin kebaikan bila ada peluang hingga tidak ada ruang menceritakan. Kerana itu sikap orang yang dicintai Allah.
“Kemudian, binalah hubungan intim dengan Allah melalui amalan menjaga solat, zikir dan bacaan alQuran yang istiqamah. Allahuakbar bukan mudah ya.. dalam kesibukan mengejar waktu dan urusan beliau dapat istiqamah sampai akhir hayat,” ujarnya.
Selain itu, Ustazah Asma’ menekankan bahawa sifat penyayang dan pemurah yang ditonjolkan Allahyarham sama ada bersama keluarga mahupun masyarakat menjadi sebab mengalirnya doa dan kasih sayang selepas pemergiannya.
“Kemudian, jadilah seorang yang pemurah kepada siapapun tanpa mengharapkan pujian atau balasan, berana ia pasti akan berbalik di luar jangkaan.
“Marilah kita insafi bersama, perbaiki dan persiapkan diri untuk bertemu kematian sendiri.
“Kita mendoakan agar Allahyarham dan seluruh umat Islam yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta mendapat keampunan dan rahmat Allah,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan serta Pengerusi Barisan Nasional Sabah, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi Jumaat lalu selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan serius pada paru-paru.
Selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu selepas solat Jumaat, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas dan selamat dikebumikan sekitar pukul 2.25 petang hari yang sama.
Allahyarham meninggalkan dua isteri serta tujuh orang anak. – KOSMO! ONLINE














