ABUJA – Lebih 100 mayat reput dan dicacatkan dijumpai di sebuah rumah yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengumpulkan organ manusia secara haram di Nigeria, lapor portal berita MailOnline semalam.
Polis turut menutup sebuah hotel dan rumah mayat persendirian milik seorang suspek di komuniti autonomi Umuhu di daerah Ngor-Okpala, negeri Imo, tenggara Nigeria selepas melakukan satu serbuan.
Pegawai polis Imo, Henry Okoye berkata, anggota-anggota pihak berkuasa itu juga menyerbu kediaman seorang suspek lain dan merampas bukti tambahan tanpa memberikan butiran lanjut.
Anggota-anggota polis kini sedang berusaha menjejaki kesemua suspek yang terlibat.
“Di rumah mayat tersebut, jasad-jasad yang reput dan dicacatkan ditemukan dalam keadaan tidak bersih, menimbulkan syak wasangka terhadap aktiviti mengumpulkan organ secara haram,” kata Okoye.
Beliau menambah, siasatan terhadap kegiatan mengumpulkan organ itu telah dilancarkan. – AGENSI














