PETALING JAYA – Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad telah menyelesaikan pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd. (Spirit MY).
Ia susulan kelulusan yang diperoleh daripada pemegang saham DRB-HICOM pada 14 November 2025,
dan kelulusan Suruhanjaya Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat yang telah diumumkan masing-masing pada 14 Oktober 2025 dan 3 Disember 2025.
DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengambilalihan tersebut menyediakan peluang strategik untuk meningkatkan lagi kedudukan daya saing CTRM dalam industri aeroangkasa dengan meningkatkan kepakaran aerostrukturnya.
“Ini akan menyumbang ke arah peningkatan skala, kecekapan dan pertumbuhan dalam pelbagai bidang yang bakal meningkatkan kehadiran CTRM dalam program aeroangkasa utama dan memperdalam hubungannya dengan OEM global, mengembangkan hubungan CTRM dengan Airbus untuk program A220, A320 dan A350, serta bersama Boeing dalam program 737 dan 787,” katanya.
Menerusi pengambilalihan Spirit MY, Kumpulan CTRM akan mempunyai platform yang lebih kukuh untuk meneruskan penambahbaikan berterusan, disiplin operasi dan memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan.
“Gabungan organisasi ini mewujudkan kapasiti pelaburan yang lebih besar dalam pembangunan tenaga kerja, kemajuan teknologi dan inisiatif kemampanan, semuanya merupakan pemboleh penting untuk memenuhi permintaan industri masa hadapan sambil menjamin peranan CTRM sebagai pemain aeroangkasa yang berdaya tahan serta bersedia untuk masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














