fbpx
Asyraf adakan pertemuan bersama Chandran di pejabatnya hari ini.

Mara latih pelajar B40 jadi jurutera kapal terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal melaksanakan program rintis melatih 50 pelajar miskin dan B40 sebagai jurutera kapal terbang melalui kerjasama strategik bersama Batik Air, kata Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rana Muthy pagi tadi membuka ruang baharu untuk membantu pelajar MRSM lepasan SPM 2025 melanjutkan pengajian dalam bidang berimpak tinggi.

“Sebagai permulaan, Mara dan Batik Air akan memilih 50 pelajar daripada keluarga B40 berdasarkan keputusan percubaan SPM untuk mengikuti program kejuruteraan profesional seperti Computer Aided Aircraft Design (CAAD), lesen Aircraft Maintenance dan bidang avionik dalam sektor MRO,” katanya.

Asyraf berkata, Batik Air turut bersedia mengambil peserta program bekerja sebaik menamatkan latihan dengan gaji minimum RM3,500.

“Malah, jika mereka lulus sijil profesional CAAD bertaraf antarabangsa dalam tempoh empat tahun pengajian, mereka boleh memperoleh gaji antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya.

Jelasnya, jika projek rintis itu berjaya, MARA bercadang memperluaskan program tersebut melalui institusi TVET Mara bagi memenuhi permintaan tinggi sektor penerbangan di dalam dan luar negara.

“Saya yakin hanya dengan ilmu dan kemahiran tinggi mampu mengubah nasib anak-anak bangsa daripada keluarga berpendapatan rendah. MARA komited membantu anak-anak B40 dan miskin merubah kehidupan mereka,” ujar beliau.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI