fbpx
Gambar hiasan.

Ganti rugi kehilangan Pastor Raymond Koh dimasukkan ke akaun AmanahRaya Berhad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ganti rugi lebih RM30 juta yang perlu dibayar Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes saman berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh didepositkan ke dalam akaun AmanahRaya Berhad.

Peguam Datuk Jerald Gomez, yang mewakili isteri Raymond, Susanna Liew Sow Yoke berkata Hakim Su Tiang Joo memerintahkan demikian selepas perkara itu dipersetujui pihaknya dan Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid, yang mewakili kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“AmanahRaya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah bagi plaintif pertama (Raymond) untuk memegang wang dan faedah sehingga keberadaannya dapat dikenal pasti atau didedahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding.

Menurut Jerald, institusi kewangan itu dipilih berikutan ia mengenakan caj yang rendah selain memberi jaminan untuk memulangkan semula wang tersebut kepada kerajaan sekiranya keputusan mahkamah berubah pada peringkat rayuan.

Katanya, sehingga kini, kerajaan masih belum membayar ganti rugi terbabit walaupun tiada sebarang permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu. Plaintif turut diwakili peguam Michelle Wong.

Sebelum ini pada 5 November lalu, Hakim Tiang Joo mengarahkan kerajaan mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun pemegang amanah sehingga keberadaan Raymond dikenal pasti atau didedahkan.

Wang itu membabitkan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari dari 13 Februari 2017 sehingga keberadaan Raymond didedahkan, ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan RM1 juta.

Mahkamah memerintahkan ganti rugi itu hendaklah dimasukkan ke dalam satu akaun amanah yang menjana faedah, yang dipegang oleh pemegang amanah.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM2 juta kepada Susanna Liew atas penindasan bukti, kesengsaraan dan tekanan mental, serta kelewatan berpanjangan dalam usaha menemukan Raymond, dan ganti rugi teladan berjumlah RM1 juta.

Sebelum ini, isteri Raymond, memohon ganti rugi kepada suaminya didepositkan ke dalam akaun amanah dipegang oleh firma guaman yang dilantiknya.

Beliau turut menamakan dua lagi institusi sebagai pemegang amanah alternatif iaitu PB Trustee Services dan Amanah Raya Berhad sekiranya mahkamah tidak menerima firma guaman Tetuan Jerald Gomez & Associates (institusi pilihannya).

Sebelum ini, mahkamah memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.

Raymond diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 13 Februari 2017 ketika ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya dalam perjalanan ke rumah seorang rakan, dan sudah hilang selama 3,188 hari.

Hakim Tiang Joo, dalam penghakiman, memerintahkan PDRM menjalankan semula siasatan kehilangan Raymond berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara menggugurkan empat pegawai polis yang terbabit dalam siasatan terdahulu dan digantikan dengan pegawai lain yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN