SUBANG JAYA – Dua remaja lelaki yang menunggang basikal lajak memberi alasan tidak menyedari lampu isyarat ketika itu sedang berwarna merah sehingga hampir merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hasil siasatan awal mendapati pengakuan tersebut dibuat oleh kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun berkenaan.
“Remaja terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 Disember lalu kira-kira pukul 5 petang bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, kedua-duanya telah dilepaskan pada 7 Disember 2025 kira-kira pukul 2 pagi selepas proses rakaman keterangan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selain tiada kerosakan dilaporkan membabitkan kenderaan pihak lain.
Katanya, ibu bapa kepada kedua-dua remaja turut dipanggil ke IPD Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.
“Keterangan ibu bapa telah diambil dan mereka turut diberikan nasihat berhubung pemantauan terhadap aktiviti anak-anak masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini empat keterangan telah diambil, iaitu melibatkan kedua-dua remaja terbabit serta ibu bapa mereka.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak yang menaiki basikal lajak nyaris dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, kelmarin.
Kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar Putra Heights, Puchong itu dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan. – KOSMO! ONLINE














