KUALA LUMPUR – Impian rakyat Malaysia untuk melihat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menutup tirai karier Sukan Komanwel dengan dua pingat emas tidak berhasil selepas pelumba Terengganu terkandas di peringkat suku akhir acara pecut individu lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, hari ini.
Pemenang pingat emas acara keirin itu menerima undian sukar apabila diundi menentang pelumba Australia, Leigh Hoffman yang juga antara pencabar utama acara berkenaan.
Azizulhasni gagal menandingi kepantasan Hoffman apabila tewas dalam kedua-dua perlumbaan suku akhir sekali gus menamatkan cabarannya lebih awal dalam acara itu.
Terdahulu, Azizulhasni mencatat masa kesembilan terpantas, 9.715 saat (s), pada pusingan kelayakan untuk mara ke pusingan pertama. Catatan itu bagaimanapun agak perlahan berbanding rekod kebangsaannya 9.402s yang dilakarkan pada Sukan Olimpik Paris 2024, berkemungkinan dipengaruhi faktor keletihan selepas memenangi pingat emas acara keirin, semalam.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus Sahrom turut gagal melepasi pusingan pertama selepas tewas kepada pelumba Australia, Daniel Barber.
Shah Firdaus mara ke pusingan pertama selepas merekodkan masa kesepuluh terpantas, 9.805s, pada sesi kelayakan. -KOSMO! ONLINE














