KUALA LANGAT – Perjalanan pulang dua sahabat ke rumah bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal ditunggangi bertembung sesama sendiri Kilometer 2.5 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 20-an meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian kedua-dua mangsa keluar minum bersama rakan di Bandar Saujana Putra.
Katanya, kemalangan berlaku apabila mereka yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC masing-masing menukar laluan di WCE dari lorong kanan dan kecemasan ke lorong kiri.
“Perlanggaran itu menyebabkan motosikal mereka hilang kawalan dan terjatuh di lorong kecemasan.
“Kedua-dua penunggang yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Banting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akmalrizal menambah, hasil semakan mereka merupakan pekerja swasta dan seorang daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.
Jelasnya, kedua-dua mangsa memakai topi keledar ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














