HULU TERENGGANU – Kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang terjunam ke dalam gaung di Bukit Kawah di sini sehingga meragut dua nyawa pada kelmarin, sebenarnya tidak melalui jalan sementara dibina kontraktor di sebelah runtuhan jalan terbabit.
Sebaliknya, siasatan awal mendapati SUV yang dipandu Hassan Shazali, 52, tanpa sengaja memasuki laluan yang telah runtuh berkenaan sebelum terjatuh gaung sedalam kira-kira 60.96 meter.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihak percaya Hassan yang memandu kenderaan tersebut mungkin terkeliru sehingga tidak menyedari laluan berkenaan sebenarnya telah runtuh sejak hampir setahun lalu.
“Kita tidak tolak kemungkinan mangsa (Hassan) mungkin terkeliru lalu memasuki jalan yang sudah lama ditutup tersebut.
“Kenderaan itu kemudiannya terus terjunam ke dalam gaung tanpa sempat membrek berikutan tiada kesan brek ditemui berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Lebir, Gua Musang, Hassan dan bakal isterinya, Suzaimah Che Azis, 34, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah di sini pada pukul 5.30 petang, Jumaat lalu.
Sharudin berkata, pemeriksaan awal juga percaya kenderaan dinaiki Hassan dan Suzaimah tidak dipandu laju sewaktu kejadian.
Beliau berkata, dapatan tersebut berdasarkan kesan serpihan dan kerosakan kenderaan yang telah terjunam ke dalam gaung berkenaan. – KOSMO! ONLINE














