fbpx

‘Percayalah, kami sedang mencuba, saya nak jadi seorang ibu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Memang nak ada keluarga (anak) sendiri, itu antara matlamat hidup saya.”

Demikian kata penyanyi Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 39, yang kini sudah lebih daripada bersedia untuk bergelar seorang ibu selepas hampir lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tersayang, Adam Sinclair.

Kata Yuna, impian membina keluarga sendiri menjadi antara matlamat utama dalam hidupnya selain kerjaya seni dan kesihatan diri.

“Sudah tentu saya ada perancangan mahu ada keluarga sendiri, itu antara goals (matlamat) saya dalam hidup.

“Itu antara perkara yang penting bagi saya selain muzik dan kesihatan. 

“Bila usia makin meningkat, saya sudah mula rasa sakit belakang. Jjadi kenalah jaga diri dengan berdiet dan bersenam,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert The Valour Hour yang diadakan di Diagram Cafe, di sini semalam.

Mengulas mengenai kemungkinan menggunakan rawatan moden seperti In-Vitro Fertilisation (IVF), pelantun lagu Dan Sebenarnya itu memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana menganggap perkara itu terlalu peribadi.

“Percayalah, kami berdua sedang mencuba (untuk mendapatkan anak). Saya memang nak jadi seorang ibu dan merancang untuk ke arah itu.

“Bagaimana cara untuk kami mempunyai anak, kami biarkan semua itu dilakukan secara privasi,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Yuna, dia kini berada pada fasa yang lebih stabil selepas kembali menetap di Malaysia selain enggan terburu-buru, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki Allah.

“Sekarang kami berada di tempat yang betul, dah pulang ke Malaysia. Keluarga pun sangat menyokong.

“Cuma belum ada rezeki lagi… insya-Allah, doakan untuk saya,” ujarnya.

Untuk rekod, Yuna dan Adam mendirikan rumah tangga pada 26 Januari 2018 dalam majlis tertutup di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Dalam perkembangan lain, konsert The Valour Hour bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Februari tahun depan.

Tiket konsert akan mula dijual pada 8 Disember untuk Yunationals (para peminat), 9 Disember bagi pra-jualan dan dibuka kepada umum pada 11 Disember. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN