JAKARTA – Sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia ketika berebut untuk mengambil bantuan makanan di sebuah gudang beras di Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Tirto.
Kejadian berlaku di gudang milik Badan Urusan Logistik Kerajaan di daerah Pandan, Sabtu lalu.
Penduduk tempatan dikenali sebagai Lodewik berkata, keempat-empat mangsa dipercayai ditimpa guni beras yang terjatuh.
“Ada antara mereka yang masih dirawat di hospital. Semua pasar raya juga diserbu, menyebabkan peniaga-peniaga kecil di sini bimbang terjejas. Keadaan kami di sini sangat tegang,” kata Lodewik.
Seorang lagi penduduk, Damai Mendrofa memberitahu, pengagihan bantuan kepada mangsa banjir tidak sekata dan banyak kawasan terutama pedalaman berbukit serta terpencil masih belum menerima bantuan.
“Mereka memerlukan makanan dan air bersih, sementara maklumat mengenai pusat bantuan sukar diakses.
“Bantuan yang tiba pada masa ini banyak tertumpu di pusat pemindahan, dengan komuniti pedalaman terbiar tanpa bantuan.
“Saya bimbang keadaan ini akan membawa kepada peningkatan kadar jenayah dan rompakan atau serbuan berterusan. Oleh kerana bekalan elektrik terputus, ramai penduduk yang masih terputus hubungan,” kata Damai. – AGENSI














