PETALING JAYA – Penganjuran Kejuaraan e-sukan Dunia (WEC) Mobile Legends: Bang Bang 2025 di sebuah pusat beli belah terkenal di Kuala Lumpur sejak Rabu lalu mendapat pujian Konfederasi e-sukan Antarabangsa (IESF).
Setiausaha Agung IESF, Boban Totovski menyifatkan Malaysia sebagai antara tuan rumah terbaik yang pernah mengendalikan kejohanan bertaraf dunia itu apabila ia dianjurkan dengan cukup teratur.
Menuru Totovski, kepuasan jelas terpancar apabila setiap perlawanan berjalan lancar tanpa sebarang isu besar, dengan kesemua peserta dan pasukan turut memberikan maklum balas positif mengenai fasiliti, pengurusan acara dan pengalaman keseluruhan sepanjang berada di Kuala Lumpur.
“Kami amat berpuas hati dengan kelancaran kejohanan ini. Malaysia membuktikan mereka mampu menguruskan acara bertaraf dunia dengan penuh profesionalisme. Pasukan-pasukan yang bertanding juga memuji tahap penganjuran yang sangat baik,” kata Totovski.
Kejohanan berprestij itu dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dengan sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selepas Malaysia diberi kepercayaan oleh IESF untuk menjadi tuan rumah WEC 2025.
Edisi kali ini menghimpunkan lebih 28 negara dengan penyertaan hampir 168 atlet serta pegawai antarabangsa, yang bersaing dalam pelbagai permainan e-sukan kompetitif utama termasuk Mobile Legends: Bang Bang.
Saingan WEC 2025 yang akan berakhir pada Ahad ini berpotensi merancakkan lagi ekosistem e-sukan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda, pencipta kandungan, serta penggiat industri digital di tanah air. – KOSMO! ONLINE














