BERMULA hanya sekadar minat dalam arena e-sukan, kini Hanis Wahidah Mohamad Dashuki, menjadi salah seorang atlet yang telah mengharumkan nama negara.
Lebih membanggakan gadis yang berusia 25 tahun itu juga telah membantu pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand baru-baru ini.
Dia yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sri Iskandar di Perak menzahirkan rasa bangga dan syukur atas kejayaan tersebut.
“Dapat mewakili negara dan menyumbang pingat emas di Sukan SEA merupakan satu pencapaian besar dalam hidup saya.
“Kejayaan ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, pasukan dan negara,” katanya.
Sebelum bertanding di Sukan SEA, Hanis Wahidah mengakui dia dan ahli pasukan yang lain hanya sempat berlatih selama dua minggu sahaja.
Ini kerana masing-masing mempunyai komitmen masing-masing.
Namun, mereka sememangnya menyasarkan untuk memberikan prestasi terbaik untuk kejohanan itu dan membawa pulang pingat emas untuk negara.
Hanis Wahidah berkata, persaingan untuk pertandingan itu sangat sengit kerana lawan yang mereka hadapi adalah juara dunia iaitu Indonesia dan Filipina.
“Kedua-dua pasukan ini adalah pasukan pertama dan kedua dalam ranking MLBB wanita di seluruh dunia untuk keseluruhan pertandingan antarabangsa.
“Alhamdulillah kami dapat beraksi dengan baik dan mendapat keputusan yang membanggakan,” jelasnya yang berasal dari Kelantan.
Dalam pada itu, Hanis Wahidah mula bermain MLBB sejak di bangku sekolah lagi sekadar suka-suka dan tidak begitu serius kerana fokus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Minatnya berkembang dan mula menyertai pasukan ketika meneruskan pengajian peringkat diploma di UiTM.

“Awal-awal penglibatan saya dalam MLBB adalah kerana minat dan selepas itu saya mula menyertai beberapa pertandingan kecil dan pertandingan secara online.
“Dari situ, prestasi dan komitmen saya telah menarik perhatian pasukan profesional, akhirnya saya terpilih untuk menyertai pasukan negara,” jelasnya.
Meskipun bergelar sebagai atlet e-sukan negara, Hanis Wahidah tetap mengutamakan pelajaran.
Baginya pengurusan masa sangat penting untuk mengimbangi kedua-duanya.
“Saya menetapkan jadual belajar dan latihan yang seimbang serta mengutamakan disiplin.
“Selain itu, saya sentiasa berkomunikasi dengan pensyarah dan pasukan supaya kedua-dua tanggungjawab dapat dijalankan dengan baik,” terangnya.
Sebelum ini, dia terlebih dahulu menyambung pengajian dalam bidang seni bina. Namun disebabkan kekangan masa untuk fokus kepada pengajian dan juga e-sukan dia putuskan untuk tukar bidang pengajian.
Dia memilih bidang teknologi pembinaan kerana ia lebih kurang dengan bidang seni bina yang diambilnya sebelum ini.
“Untuk bidang seni bina, setiap minggu saya perlu tunjuk progres projek yang dihasilkan dan selalunya saya tidak tidur pada lewat malam untuk siapkan projek.
“Ini menyebabkan saya tidak sempat untuk membahagikan masa apabila perlu menyertai latihan e-sukan.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan menukar bidang pengajian ke teknologi pembinaan kerana tidak perlu berada di studio setiap masa untuk siapkan projek,” katanya.
Berbicara tentang matlamat masa hadapannya, Hanis Wahidah berkata, dia ingin berjaya dalam kedua-duanya iaitu bidang akademik dan e-sukan.
“Untuk jangka masa panjang saya ingin membina kerjaya profesional dalam bidang pengajian saya.
“Di samping itu, saya ingin terus menyumbang kepada pembangunan industri e-sukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hanis Wahidah menitipkan pesan kepada generasi muda di luar sana untuk tidak abaikan pelajaran meskipun dalam masa yang sama menjadi atlet e-sukan.
“Sentiasa berusaha dan jangan mudah putus asa walaupun agak berat untuk menjadi seorang atlet dan pelajar sepenuh masa.
“E-sukan memerlukan komitmen tinggi, mental yang kuat dan sikap profesional,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan tidak datang dalam masa singkat, kesabaran dan kerja keras sangat penting.














