PETALING JAYA – Hujan lebat yang kembali membasahi ibu kota sekitar pukul 3 petang tadi menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai yang bimbang kejadian banjir kilat berulang seperti semalam.
Semakan Kosmo! di media sosial, ramai yang sudah membuat persiapan dengan menggunakan perkhidmatan awam pergi dan pulang dari kerja kerana bimbang terperangkap dalam banjir.
“Semalam kurang dari dua jam hujan, KL (Kuala Lumpur) boleh banjir. Sekarang hampir sejam banjir landa KL. Moga selamat semuanya,” kata Aliyasuha.
“Kerap hujan petang KL dalam minggu ini. Hari ini memang dah siap-siap naik LRT pergi kerja. Semalam memang tersangkut dekat Jalan Tun Razak sebab banjir,” kata MaelKadok.
“Dah sejam KL hujan, risau. Takut jalan tiba-tiba ditutup dan terpaksa pusing jauh kalau jadi banjir kilat macam semalam. Dua jam sangkut area (kawasan) Titiwangsa tu,” kongsi Malisaaaa.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir hampir seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Kelantan serta Terengganu pada petang ini.
Terdahulu, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang semalam.
Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Jalan Sentul Pasar, Taman Bahagia, Jalan Batu Bata, Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh, Sentul, Kampung Chubadak Dalam, Sentul dan Batu 2 ½, Jalan Ipoh. – KOSMO! ONLINE














