SEREMBAN – Kedai serbaneka, Richiamo Mart melebarkan sayap perniagaan dengan pembukaan cawangan baharu ke-17 di Hospital Pakar KPJ Seremban, juga yang julung kalinya di fasiliti kesihatan.
Pengarah Urusan Nadilicious Sdn. Bhd., Mohamad Afifi Hafiz Mohd. Nor selaku pemilik cawangan berkata, pembukaan tersebut merupakan salah satu langkah strategik syarikat untuk menyediakan kemudahan kepada para pengunjung, pesakit, waris serta kakitangan hospital.
“Kehadiran Richiamo Mart di KPJ Seremban diharapkan dapat menjadi sebuah pusat keperluan harian yang cepat, lengkap dan mudah diakses, terutama bagi mereka yang memerlukan barang keperluan tanpa perlu keluar dari kawasan hospital.
“Kami memilih lokasi hospital kerana ia merupakan tempat tumpuan masyarakat sepanjang masa,” katanya pada Majlis Pelancaran Richiamo Mart KPJ Seremban di sini, kelmarin yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Nor Aidil Ikram Muhamad.
Menurut Mohamad Afifi, sasaran jangka panjang syarikat adalah untuk mengembangkan rangkaian Richiamo Mart ke lebih banyak lokasi strategik di seluruh Negeri Sembilan dan seterusnya ke seluruh Malaysia.
“Kami ingin membina jenama yang dikenali sebagai penyedia perkhidmatan runcit yang konsisten, mudah diakses dan dipercayai.
“Selain itu, kami turut menyasarkan penambahan produk-produk baharu selain meningkatkan sistem operasi, serta memperkukuh kerjasama dengan lebih banyak rakan strategik,” katanya.
Ia merupakan cawangan Richiamo Mart kedua milik Nadilicious selain di Pusat Bandar Senawang, di sini.
Jelas Mohamad Afifi, fokus syarikat adalah untuk membina perniagaan berdaya saing, mampan dan memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.
“Kami memilih Richiamo Mart kerana ia menawarkan model perniagaan yang fleksibel, stabil dan sesuai dengan keperluan masyarakat hari ini.
“Richiamo Mart menekankan konsep ‘Quick Convenience’ iaitu menyediakan pilihan makanan, minuman, snek dan barangan harian dalam satu ruang yang ringkas, moden dan mudah,” katanya.
Tambahnya, Richiamo Mart KPJ Seremban turut menawarkan makanan dan minuman berkualiti pada harga yang sangat mampu milik, seperti kopi Americano panas pada harga RM3 dan set oden pada RM9.80. – KOSMO! ONLINE














