PONTIAN – Tindakan 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bekerja di negara ini tanpa dokumen yang sah membawa padah apabila mereka ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen (JIM) Johor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pontian dan Kulai, Rabu lalu.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sasaran operasi ke atas premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam serta penempatan pekerja asing dikedua-dua PBT berkenaan.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki warganegara Indonesia, tiga lelaki India, sembilan lelaki warganegara Bangladesh, lapan lelaki Pakistan dan enam lelaki warganegara Myanmar.
“Turut ditahan seorang kanak-kanak warganegara Indonesia dan lima perempuan warganegara Indonesia berusia lingkungan enam hingga 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Katanya, sebanyak dua keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE














