fbpx
Hussein (tengah) pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Alphard & Myvi jadi ‘gudang bergerak’, JSJN rampas dadah bernilai RM13.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket pengedaran dadah bernilai RM13.9 juta yang aktif sejak pertengahan tahun ini berjaya ditumpaskan susulan dua siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Simpang Pulai, Perak pada 1 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi yang dijalankan berdasarkan maklumat risikan itu membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan.

“Beberapa suspek berusia antara 26 hingga 46 tahun yang dipercayai mempunyai rangkaian pergerakan sindiket dari Perlis hingga ke Lembah Klang dipercayai menerima upah antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi menjalankan tugas sebagai pengangkut dadah sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir bawah tanah sebuah pasar raya di Petaling Jaya yang dijadikan lokasi transaksi sindiket tersebut.

“Dalam serbuan itu, lima suspek ditahan bersama sebuah Toyota Alphard dan dua Perodua Myvi.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 17 guni berisi 263 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 273 kilogram serta enam guni mengandungi 98 bungkusan ketamin seberat 101 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM13.8 juta dan jumlah itu mampu merosakkan sehingga 1.7 juta pengguna,” katanya.

Menurut beliau, serbuan kedua dijalankan di perkarangan sebuah stesen minyak di R&R Simpang Pulai, Perak dan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan.

“Tiada rampasan dadah ditemukan dalam kenderaan suspek keenam itu namun peranannya tetap signifikan dalam struktur pergerakan sindiket,” katanya.

Hussein berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama bertindak sebagai pembantu (runner), manakala suspek kedua, ketiga, keempat dan kelima sebagai pengangkut (transporter).

Katanya, suspek keenam pula berperanan sebagai sweeper yang memastikan laluan pergerakan sindiket selamat daripada pemantauan pihak berkuasa.

Tambahnya, risikan turut menunjukkan sindiket memperoleh bekalan dari negara jiran sebelum disimpan dalam guni dan dimuatkan ke dalam kenderaan di beberapa lokasi transit.

“Semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, termasuk sehingga 12 rekod kes dadah bagi salah seorang daripada mereka dan dua suspek positif ujian air kencing,” katanya.

Susulan itu, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 2 hingga 8 Disember 2025 bagi membantu siasatan.

Kata Hussein, JSJN turut menyita tiga kenderaan iaitu Nissan Navara, Mitsubishi Pajero dan Proton X70 bernilai RM140,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM13.9 juta.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 bagi membantu usaha memerangi musuh nombor satu negara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN