KUALA LUMPUR – Penyanyi Amira Othman menganggap setiap khabar angin dan dakwaan yang mengatakan dirinya kini berbadan dua sebagai satu doa.
Tidak terkejut dihujani dengan pertanyaan mengenai kehamilan, Amira, 30, berkata, perkara tersebut adalah normal buat mana-mana individu yang baru berkahwin.
“Adatlah bila sudah berkahwin, soalan seterusnya pasti tentang kehamilan. Sebelum kahwin orang tanya pasal jodoh, lepas kahwin orang tanya pasal zuriat pula.
“Untuk saya, sama ada nak menafikan atau mengaku, kami akan kongsi perkara yang baik-baik bila tiba masa yang sesuai. Apa pun, saya anggap semua pertanyaan itu sebagai doa.
“Sudah tentu kami aminkan. Siapa yang tak mahu zuriat? Cuma semua ada masa dan waktunya. Bila keadaan dan masa sesuai, kami akan kongsikan,” katanya ditemui pada program Amber Allstar Picklebash di Kings Court@TTDI, di sini, semalam.
Pada masa sama, dia juga tidak menolak rezeki zuriat sekiranya itu adalah aturan yang sudah ditetapkan Allah SWT.
“Kami tidaklah menolak (zuriat). Maksud saya, apa sahaja rezeki yang baik, kami terima.
“Jika Allah sudah aturkan waktu dan bilangan yang terbaik, itulah yang kami akur serta syukur,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia mengakui soalan berkaitan kehamilan dianggap perkara yang sensitif terhadap segelintir pasangan baru berumah tangga.
“Kami pun baru berkahwin dan saya akui, soalan ini sebenarnya agak sensitif, cuma sudah menjadi adat lebih-lebih lagi bila bergelar selebriti.
“Jujurnya, saya sendiri pun takut nak tanya orang lain soalan berkaitan kehamilan sebab bimbang menyentuh hal sensitif,” tuturnya.
Dalam pada itu, suaminya yang juga pelakon, Fattah, 35, berkata, dia dan Amira tidak pernah menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam tempoh terdekat.
“Dalam mana-mana perkahwinan pun, semua orang mahu ada zuriat. Cepat atau lambat, itu soal rezeki.
“Bila tiba masanya dan rezeki itu hadir, sudah tentu satu perkara yang baik dan kami akan kongsikan kepada peminat,” jelasnya.
Fattah menambah, dia dan Amira juga tidak pernah terasa hati apabila kerap dihujani dengan pertanyaan mengenai zuriat sebaliknya berterima kasih atas semua doa diberikan daripada peminat.
“Kami anggap apa sahaja kata-kata, harapan atau sangkaan sebagai doa. Bila mereka bertanya atau berharap yang baik-baik, kami aminkan sahaja.
“Takkanlah nak marah atau terasa hati. Setakat yang boleh kami kongsi, bila tiba waktu yang sesuai, kami akan maklumkan,” ujarnya.
Terdahulu, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menamatkan zaman dudanya dengan Amira pada 14 September lalu di sebuah resort di Sepang.
– KOSMO! ONLINE














