fbpx
Thachnatharen (kiri) menunjukkan anugerah yang diperolehnya bersempena Istiadat Konvokesyen UPNM ke-15 di Kuala Lumpur kelmarin.

Graduan UPNM sumbang kepakaran kepada pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus membuktikan keupayaan mereka menyumbang secara langsung melalui kepakaran akademik, ketenteraan dan penyelidikan yang memberi impak besar kepada pembangunan pertahanan negara, selaras dengan aspirasi Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk memperkasa kesiapsiagaan masa depan negara.

Istiadat Konvokesyen UPNM Ke-15 tahun ini mengetengahkan tema ‘Graduan Berwawasan, Pewaris Kedaulatan’, bertepatan dengan komitmen MINDEF dan UPNM dalam melahirkan graduan berdisiplin tinggi, berwibawa serta bersedia memikul amanah mempertahankan negara.

Ia menyaksikan 24 graduan menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD), 54 Ijazah Sarjana, 783 Ijazah Sarjana Muda dan 149 Diploma, sekali gus menjadikan UPNM antara penyumbang utama tenaga pakar dalam sektor ketenteraan dan pertahanan negara di bawah ekosistem MINDEF yang menyediakan kesinambungan bakat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam konteks inilah, Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad menegaskan peranan penting graduan UPNM kepada masa depan negara.

“Graduan pada hari ini bukan sahaja menjadi tonggak kepada keupayaan minda pertahanan negara, malah merupakan penentu masa depan Malaysia yang berdaulat,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan UPNM terletak pada gabungan latihan ketenteraan dan akademik yang membentuk graduan yang tahan diuji, mampu memimpin dan bersedia berkhidmat dalam sektor strategik negara.

Leong Jing En

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi UPNM30, iaitu hala tuju strategik universiti hingga 2030 untuk memperkasa pendidikan tinggi pertahanan, penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat strategik yang menyokong kesiapsiagaan negara dengan sokongan penuh MINDEF sebagai peneraju dasar pertahanan negara.

Konvokesyen UPNM Ke-15 dilaksana penuh istiadat apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Tuanku Canselor UPNM berkenan menyempurnakan sidang pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Antara graduan cemerlang ialah Kapten Ts. Dr. N. Thachnatharen, yang memulakan pengajian di UPNM sejak 2013 sebelum menamatkan Sarjana Muda pada 2017, diikuti Sarjana pada 2023 dan PhD tahun lalu.
Beliau menerima tiga Anugerah Emas Canselor bagi ketiga-tiga peringkat pengajian, masing-masing disampaikan oleh tiga Yang di-Pertuan Agong berbeza.

Menurutnya, disiplin ketenteraan yang diterapkan UPNM menjadi asas kejayaannya dalam mengimbangi akademik dan latihan ketenteraan.

“Dalam ketenteraan, perkara paling penting ialah disiplin. Apabila asas itu kukuh, kita mampu berfikir secara kritikal dan bekerja dengan lebih sistematik. Ia sangat membantu dalam penyelidikan,” katanya kepada Kosmo! selepas majlis tersebut.

Thachnatharen yang kini bertugas di Rejimen 508, Kem Rasah, Seremban menjelaskan, penyelidikannya tertumpu kepada teknologi minyak enjin menggunakan nanoteknologi.

“Saya menghasilkan kira-kira 25 jurnal berindeks serta beberapa paten melalui UPNM. Bidang ini memberi sumbangan langsung kepada pembangunan teknologi ketenteraan,” ujarnya.

Seorang lagi graduan, Pegawai Kadet Udara Leong Jing En berkata, pengalaman belajar di UPNM amat bermakna kerana berjaya membentuk dirinya dari segi kepimpinan dan disiplin.

“UPNM sangat unik kerana di sini kami bukan sahaja belajar akademik, tetapi turut dibentuk sebagai anggota tentera. Disiplin tinggi diperlukan untuk berjaya,” jelasnya.

Jing En yang mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal mengakui minatnya terhadap tentera udara sejak awal dan bertekad untuk berkhidmat kepada negara.

“Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak muda, terutama dalam kalangan masyarakat Cina bahawa kerjaya tentera bukan sahaja mulia, malah terbuka kepada semua,” katanya.

Konvokesyen kali ini sekali lagi membuktikan bahawa UPNM bukan sekadar institusi akademik, tetapi sebuah universiti pertahanan tunggal negara yang berperanan langsung di bawah MINDEF dalam membentuk pewaris kedaulatan dan barisan kepimpinan pertahanan masa hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN