fbpx
SECARA umumnya, wanita adalah dimakruhkan daripada mengikuti jenazah ke perkuburan, sama ada dia berada dalam keadaan haid atau tidak. -Gambar hiasan

Bolehkah wanita haid urus jenazah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah hukum wanita yang berhaid menguruskan jenazah dan pergi ke kubur?

JAWAPAN: MEMANDANGKAN istilah menguruskan jenazah itu agak umum, maka bagi menjawab persoalan ini, kami bahagikan jawapan kepada tiga bahagian: Pertama, hukum wanita berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah. Kedua, hukum wanita berhaid mensolatkan jenazah dan ketiga, hukum wanita berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah.

Di dalam matan fiqh seperti Safinah al-Naja ada menyebut 10 perkara yang diharamkan ke atas wanita berhaid iaitu solat, tawaf, menyentuh mushaf al-Quran, membawa mushaf al-Quran, membaca al-Quran, puasa, talak, menetap dalam masjid, melintasi masjid sekiranya dikhuatiri menitis darah haid dan Istimta` (bermesraan secara seksual) antara pusat dan lutut.

Perbuatan memandikan dan mengkafankan jenazah tidak termasuk dalam senarai perkara yang diharamkan bagi wanita berhaid.

Berkenaan hukum wanita memandikan jenazah suaminya, maka hukumnya adalah harus. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 211: Batalkah Wuduk Suami Apabila Memandikan Jenazah Isteri ?

Wanita yang berhaid haram melakukan sebarang solat dan solat yang dilakukan dalam keadaan berhaid adalah tidak sah. Justeru, solat jenazah yang dilakukan oleh wanita yang berhaid adalah tidak sah.

Menyentuh mengenai mengiringi jenazah ke kubur pula, secara umumnya, wanita adalah dimakruhkan daripada mengikuti jenazah ke perkuburan, sama ada dia berada dalam keadaan haid atau tidak.

Sebahagian ulama juga berpendapat hukumnya haram terutama mereka yang tidak dipertanggungjawabkan untuk mengurus jenazah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali RA, katanya:

“Ketika Rasulullah SAW keluar, tiba-tiba Baginda bertemu beberapa orang orang perempuan yang sedang duduk. Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu duduk? Mereka menjawab:

Kami sedang menunggu jenazah. Baginda bertanya lagi: Adakah kamu akan memandikannya? Mereka menjawab: Tidak. Adakah kamu akan mengusungnya? Mereka menjawab: Tidak. Baginda seterusnya bertanya: Adakah kamu akan memasukkannya ke dalam kubur? Mereka menjawab: Tidak. Lalu Baginda bersabda: Baliklah. Kamu dalam keadaan bersalah tanpa mendapat ganjaran.” Riwayat Ibn Majah (1645)

Hadith tersebut menunjukkan bahawa mereka berdosa dan tidak mendapat ganjaran dengan perbuatan mereka mengiringi jenazah dan menghadiri pengebumian itu. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji.

Namun begitu terdapat ulama yang mendaifkan hadis ini seperti Imam al-Nawawi, menjadikan hukumnya kekal sebagai makruh. Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab (5/277). Adapun wanita yang kematian suami, maka haram baginya untuk mengikuti jenazah suaminya ke kubur kerana mereka wajib melaksanakan iddah melainkan kerana hajat atau darurat.

Wanita juga secara umumnya dilarang secara makruh untuk menziarahi kubur.

Ini khususnya jika dikhuatiri wanita tersebut tidak dapat mengawal perasaan lalu terjebak dalam perbuatan berdosa ketika di kubur seperti meratap dan mencarik-carik baju. Adapun jika diyakini wanita berkenaan akan melakukan dosa, maka hukum menziarahi kubur itu adalah haram bagi wanita itu.

Namun, sekiranya wanita tersebut seorang yang diyakini kuat imannya dan aman daripada melakukan kesalahan yang menyalahi adab menziarahi kubur, maka hukum ziarah kubur bagi wanita sebegini adalah tidaklah haram

Jika hukumnya berziarah kubur haram bagi wanita, nescaya Rasulullah SAW akan menegur wanita berkenaan dan tidak mengajar isterinya Aisyah doa ketika di kubur.

Sebahagian ulama menyatakan hukum sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (1/389). Wallahua’lam.

Kesimpulannya, berdasarkan keterangan di atas, harus bagi wanita yang berhaid untuk memandikan dan mengkafankan mayat. Kedua, haram bagi wanita yang berhaid untuk menyolatkan jenazah.

Ketiga, makruh bagi wanita, sama ada sedang haid atau tidak untuk mengiringi jenazah ke perkuburan.

Keempat, adapun bagi wanita yang kematian suami, haram mengikuti jenazah suaminya ke kubur, sama ada berhaid atau tidak kerana waktu iddahnya sudah bermula melainkan jika mempunyai hajat atau darurat dalam pengurusan jenazah.

Kelima, makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah SAW, maka hukumnya adalah sunat.

Juga kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab ziarah. Pendapat lain pula mengatakan haram.

Pendapat lain menyatakan harus sekiranya aman daripada fitnah bagi wanita yang sudah tua berdasarkan hadis-hadis dan ini yang lebih sesuai diamalkan pada masa sekarang dengan syarat dijaga adab-adab ziarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN