GUA MUSANG – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Gua Musang – Lojing dekat Pos Blau di sini perlu sentiasa peka dengan peringatan dan amaran pada papan tanda tanah runtuh susulan terdapat rekahan baharu dikesan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, penghadang jalan dan papan tanda amaran telah diletakkan sepanjang jalan menuju laluan Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing bagi mengelak kenderaan orang awam memasuki kawasan runtuhan.
“Pengguna jalan raya dari Gua Musang atau Cameron Highlands, Pahang perlu menggunakan jalan alternatif yang disarankan. Sekiranya ingkar arahan papan tanda lalu lintas, boleh didenda sebanyak RM500 di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di lokasi tanah runtuh hari ini mendapati, beberapa buah kenderaan termasuk kereta, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal bertindak berani melalui kawasan jalan runtuh itu walaupun papan tanda amaran dan penghadang sudah diletakkan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, akibat tidak perasan jalan runtuh, seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dia pandu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau. – KOSMO! ONLINE














