DAMSYIK – Sebuah dron Israel menyerang kawasan di luar bandar Damsyik semalam dalam pencabulan terbaru terhadap kedaulatan Syria, lapor media tempatan yang dipetik agensi berita Anadolu.
Saluran televisyen milik kerajaan, Alikhbariah melaporkan, serangan dron itu menyasarkan kawasan berhampiran kampung Beit Jinn pinggir Damsyik.
Tiada laporan segera mengenai korban dalam serangan tersebut.
Pada Jumaat minggu lalu, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala 24 yang lain cedera dalam serangan Israel di Beit Jinn.
Agensi berita milik kerajaan Syria, Syrian Arab News Agency (SANA), turut melaporkan dua serangan Israel di kawasan selatan Quneitra, semalam.
Menurut SANA, pasukan tentera Israel ditempatkan di kampung Um al-Izam sebelum mereka menubuhkan pos kawalan tentera.
Rondaan tentera Rejim Zionis yang terdiri daripada tiga kenderaan juga bergerak ke arah kampung Rwihinah di selatan kawasan Quneitra.
Tiada sebarang komen daripada tentera Israel atau pihak berkuasa Syria mengenai laporan tersebut.
Serangan terbaru itu berlaku di sebalik gesaan Presiden Donald Trump supaya Israel tidak melancarkan serangan dalam wilayah Syria.
Data kerajaan Syria menunjukkan bahawa sejak Disember 2024, Israel telah melancarkan lebih 1,000 serangan udara ke atas Syria dan lebih 400 serbuan rentas sempadan ke wilayah selatan negara itu.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad akhir tahun lalu, Israel memperluaskan pendudukannya di Bukit Golan yang menjadi milik Syria sebelum ini dengan merampas zon penampan, langkah yang melanggar perjanjian 1974 dengan Syria. – AGENSI














