SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong, dekat sini bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Haseen, 38, yang bekerja sebagai jurukimpal bagaimanapun memaklumkan tidak memahami pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang di Jalan Semeling, Bedong kira-kira pukul 6.45 petang, 13 November lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam, Savinder Singh.
Kosmo! Online pada 19 November lalu melaporkan seorang lelaki ditahan susulan penemuan sepucuk pistol, kelopak dan kelongsong peluru di sebuah kilang dalam daerah Kuala Muda. – KOSMO! ONLINE














