PETALING JAYA – Ibu angkat kepada remaja yang dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu, Nur Qasehku Suhaimi, 15, merayu orang ramai khususnya warga Kuala Lumpur agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya ternampak kelibat anaknya.
Nurhazlin Mohd. Nor, 44, berkata maklumat terbaharu yang diterima apabila sepasang suami isteri memaklumkan ternampak anak gadisnya di sebuah kedai makan di Cheras bersama tiga lelaki yang tidak dikenali.
“Pada dua minggu lepas sepasang suami isteri hubungi saya kata mereka pasti itu anak saya di kedai makan Cheras. Dia nampak bersama tiga lelaki. Apabila si suami bangun nak pergi ke arah Qaseh, tiga lelaki cepat-cepat tarik anak saya bergegas masuk kereta. Saksi tak sempat tengok nombor plat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nurhazlin berkata, saksi melihat Qaseh hanya mendiamkan diri dan memakai baju ‘hoodie’ berwarna gelap pada ketika itu.
“Saksi pun beritahu Qaseh tak bercakap, macam budak ‘blur’. Hari ini selepas tular semula di media sosial, ada beberapa saksi juga nampak Qaseh di kawasan Pudu.
“Jadi hati saya kuat mengatakan Qaseh telah dibawa dari Melaka ke Kuala Lumpur. Siasatan dan pencarian polis kini juga menumpukan di kawasan ibu negara,” katanya.
Remaja itu yang menghadapi masalah mental dilaporkan hilang pada 3 Oktober lalu dan kali terakhir dilihat berada di hadapan kedai 7-Eleven, Jalan Seri Krubong 2.
Nurhazlin berkata pada hari kejadian, anaknya keluar tanpa membawa telefon bimbit dan menaiki motosikal ke kedai serbaneka itu untuk membeli minuman ‘air cap badak’ selepas mengadu sakit perut dan kepala pada kira-kira pukul 4.30 petang.
“Saya bawa dia ke pejabat, kemudian dia beritahu sakit kepala dan mahu minum air cap badak. Saya kata tunggu sekejap kerana mahu siapkan sedikit kerja.
“Saya tak sangka dia sudah naik motor dan pergi ke 7-Eleven dengan duit pun dia tak bawa. Saya minta seorang lagi anak pergi tengok dan dia nampak motosikal dan kunci masih ada, tetapi Qaseh tidak ditemui,” katanya.
Menurut hebahan orang hilang yang dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Qaseh mempunyai ketinggian 161 sentimeter, berat 50 kilogram dan berbadan kurus.
Ketika kejadian, Qaseh dipercayai memakai T-shirt hitam, seluar hitam dan berambut botak.
Sementara itu, Nurhazlin memohon warga Kuala Lumpur agar menyalurkan maklumat segera ke balai polis berhampiran jika ternampak kelibat anaknya.
“Saya dan suami ada datang ke Kuala Lumpur dua minggu lepas untuk cari Qaseh. Tapi sana besar, sukar nak carikan sebab tiada sebarang petunjuk.
“Qaseh memang tidak berapa waras, kalau tanya nama dia apa dia akan jawab nama Nana ke Cahaya ke. Sebab dia tak sedar apa yang jadi dan siapa dia. Jadi saya mohon kalau orang ramai khususnya ‘rider’ nampak Qaseh maklumkan kepada balai polis berdekatan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














