PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat awal pagi tadi selepas hujan lebat tanpa henti sejak kira-kira pukul 2 pagi.
Antara kawasan yang terjejas ialah Batu 20, Nanding, Dusun Tua, Sungai Lui dan Batu 18 dengan beberapa rumah penduduk dan laluan utama dinaiki air secara mendadak.
Difahamkan, siren amaran turut dibunyikan di beberapa lokasi bagi memberi peringatan awal kepada penduduk supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus meningkat.
Menerusi tinjauan di media sosial, rata-rata penduduk memuat naik video serta gambar memaparkan kawasan rumah telah ditelenggami air.
Seorang pengguna dikenali sebagai @Cikkiera memaklumkan kawasan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua telah pun ditelenggami air akibat hujan berterusan.
Kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Axia telah tenggelam separuh manakala jalan utama juga dinaiki air sehingga tidak dapat dilalui.
Sementara itu, menurut seorang penduduk di Nanding dikenali sebagai @Nazira.ryr, air telah mula naik di rumahnya sehingga paras buku lali.
Katanya rata-rata penduduk sedang berusaha mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih tinggi namun tersekat akibat laluan utama telah dinaiki air. – KOSMO! ONLINE














