INSENTIF kemenangan daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dianggap sebagai tonik terbaik buat karateka negara, C. Shahmalarani dalam misi memburu hatrik pingat emas pada Sukan SEA Thailand yang membuka tirai secara rasmi minggu depan.
Ratu kumite berusia 26 tahun itu mengakui, penghargaan tersebut meningkatkan semangatnya terutama membuktikan badan induk itu menghargai setiap titik peluh dan pengorbanannya di sebalik tabir demi mengharumkan nama negara.
Shahmalarani mencipta sensasi apabila meraih pingat perak acara kumite 50 kilogram (kg) pada penampilan sulungnya di Kejohanan Karate Dunia 2025 di Kaherah, Mesir minggu lalu.
“Memang sasaran besar untuk tahun ini adalah Sukan SEA dan kami semua sedang membuat persiapan rapi ke arah itu. Kejohanan Dunia pula hanyalah satu langkah untuk kami menguji teknik.
“Walaupun ia (Kejohanan Dunia) bukan sasaran utama, namun kejayaan ke final sesuatu yang cukup bermakna dan satu sejarah untuk legasi saya sendiri,” katanya pada majlis penyampaian insentif ringkas yang disempurnakan Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pada majlis itu, MAKAF mengagihkan insentif keseluruhan berjumlah RM16,000 dengan Shahmalarani menerima ganjaran tertinggi sebanyak RM10,000, manakala dua lagi atlet, Zakiah Adnan menerima RM2,000 dan Lovelly Anne Robberth (RM1,000).
Turut menerima penghargaan atas komitmen membimbing atlet adalah ketua jurulatih, R. Sharmendran (RM2,000) serta Norfarhan Nordin (RM1,000).
Bagi Shahmalarani, suntikan semangat itu hadir tepat pada masanya ketika dia bertekad mempertahankan pingat emas dimenanginya pada edisi Hanoi 2021 dan Kemboja 2023. – KOSMO! ONLINE














