fbpx
Mohd Na’im, Zambri serta Saifuddin ketika mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara hari ini. FOTO JAPEN.

Tiga menteri angkat sumpah sambung penggal kedua Senator

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi menyambung penggal kedua perkhidmatan mereka sebagai Senator.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Upacara berlangsung di Dewan Negara di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah. Pelantikan semula ketiga-tiga tokoh itu, yang pertama kali mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022, berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Disember 2028.

Dalam ucapannya, Awang Bemee menzahirkan harapan agar ketiga-tiga Senator terbabit dapat terus menjalankan amanah dengan penuh integriti dan berkaliber.

Menurut beliau, pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tempoh pelantikan adalah selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).

“Bagi pihak Dewan yang mulia ini, tahniah kepada tiga Senator yang kembali ke Dewan Negara dan selamat berkhidmat semula.

“Jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran, maka jalankan tugas dengan berkaliber serta memantapkan peranan Senator di Dewan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN