KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas ditemui mati di kawasan kaki lima depan sebuah premis di Kampung Tapang di sini selepas pulang daripada membeli basikal baharu, di sini hari ini.
Anak mangsa, Lim Hon Shian, 20-an, berkata bapanya, Lim Lai Tiong, 63, ditemui terbaring kira-kira pukul 10 pagi dan tidak sedarkan diri berhampiran basikal yang dibelinya pada harga RM900 selepas dia menemukan resit pembelian basikal tersebut.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi selepas dihubungi oleh ibu saudaranya.
“Mendiang bapa akan keluar dari rumah pada awal pagi setiap hari. Saya dan keluarga tidak sedar dia keluar pagi tadi.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, saya menjumpai resit pembelian basikal bersamanya. Dia juga menunggang basikal baharu itu dan saya tidak tahu di mana dia letak basikal lamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hon Shian memberitahu, mayat bapanya dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, menurut saksi kejadian, Tuan Mazli Tuan Yaacob, 49, dia ketika itu berada di kawasan kedai itu kira-kira pukul 10 pagi.
Menurutnya, pemilik premis tersebut kemudian memanggilnya dan memaklumkan bahawa ada seorang lelaki terbaring di atas kaki lima ketika membuka premis terbabit.
“Kami berdua melihat mangsa yang sudah meninggal dunia dengan wajahnya pucat kebiruan dan keluar darah daripada hidungnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan laporan lanjut akan menyusul.- KOSMO! ONLINE













