Boleh masuk Hatyai tak 25/12?, Hatyai sudah boleh pergi ke? .. Hatyai sudah boleh lalu ke? Ok tak kat Hatyai?
Itulah pertanyaan yang sering diajukan orang Malaysia setiap kali pempengaruh Thailand membuat video mengenai situasi terkini di tempat pelancongan yang paling diminati iaitu Hatyai.
Sehinggakan ada kebanyakan komen yang marah dengan pertanyaan itu dengan mengatakan rakyat Malaysia tetap ‘meroyan’ mahu ke daerah pasca bencana itu seperti tidak reti bahasa.
Mereka bertanyakan begitu disebabkan sudah membuat tempahan hotel untuk ke sana sempena cuti sekolah pada akhir tahun ini. Disebabkan tidak mahu rugi rakyat Malaysia tetap mahu ke Hatyai walaupun kawasan itu baru lepas banjir besar.
Kalau dilihat pada video beberapa orang yang masuk ke Hatyai untuk membawa keluar kenderaan Malaysia yang ‘tenggelam’ akibat banjir besar minggu lalu, banjir di kawasan itu bukan biasa-biasa.
Dikatakan lebih 200 kenderaan Malaysia masih tersadai di parkir bawah tanah hotel, tepi jalan dan sekitarnya.
Lebih menyukarkan pihak towing adalah kenderaan Itu dalam keadaan bertindan dan bersusun sehingga 7 barisan.
Selain itu pekan Hatyai yang meriah dengan orang ramai kini berubah seperti ‘pekan zombi’ apabila bekalan elektriknya cuma 50 peratus pulih.
Dalam erti kata lain ketika malam, pekan itu masih bergelap dan tiada air bersih. Selain itu kedai-kedai makan dan premis kopi turut ‘tenggelam’ ketika banjir besar itu yang memerlukan masa paling cepat dua bulan untuk pulih.
Mengikut video pempengaruh di Hatyai juga, jika ada yang ingin datang ke situ agak sukar untuk mendapat penginapan dan makan minum.
Dalam erti kata lain, orang Hatyai sendiri dalam kesusahan dan janganlah kita ke sana bagi menambah dan menyusahkan mereka. Biarlah mereka pulih terlebih dahulu.
Kita bagilah ‘mereka’ tempoh bertenang dahulu untuk pulih, lagi pun Monsun Timur Laut yang berlaku sekarang bukan biasa-biasa sebaliknya tidak dijangka.
Lagi pun di Hatyai mereka masih bergelut untuk mendapatkan air bersih, terdedah kepada wabak pasca banjir seperti cirit-birit dan denggi kerana banyak kawasan masih digenangi air bertakung.
Kita ambillah iktibar daripada lebih 5,000 rakyat kita yang terkandas di negara jiran itu akibat banjir besar tidak dijangka baru-baru ini.
Janganlah kerana takut rugi duit tempahan hotel, sebaliknya kita cari pula penyakit di negara orang.















