SHAH ALAM – Tembelang sekumpulan warga China yang memasuki Malaysia secara sah dengan pas lawatan sosial dan pas kerja bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Sunsuria City, Sepang, dekat sini baru-baru ini.
Operasi selama empat jam bermula 1 tengah hari ini, berjaya menahan 24 individu termasuk tiga wanita berusia 21 hingga 37 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu hasil serbuan di dua buah rumah teres tiga tingkat yang dijadikan markas mereka dengan kadar sewa RM5,300 hingga RM5,800.
Katanya, siasatan mendapati mereka terdiri daripada dua sindiket berbeza iaitu menjalankan penipuan cabutan bertuah dan forex.
“Kesemua tangkapan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan permit pekerja antara Jun hingga Oktober lalu.
“Namun, polis akan membuat semak silang dengan Jabatan Imigresen bagi mengesahkan ketulenan dokumen mereka,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tegas Shazeli, kedua-dua sindiket ini yang aktif sejak dua bulan tersebut menyasarkan mangsa dari negara China.
Tambah beliau, sindiket-sindiket ini menggunakan aplikasi dalam talian seperti ‘QQ’ dan ‘Tonghuasun’ serta telegram dalam melaksanakan penipuan tersebut.
“Mereka menjanjikan hadiah wang tunai melalui cabutan bertuah dan pulangan tinggi bagi forex.
“Polis turut merampas melibatkan sejumlah komputer riba, telefon bimbit dan router dianggarkan RM60,000,” katanya.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














