SEPANG – Bergelar ibu tunggal, bekas isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah mengakui sedang membiasakan diri mengendalikan anak-anaknya seorang diri.
Dalam masa sama, Afifah atau nama sebenarnya, Afifah Hidayah Tawfek, 35, bersyukur apabila keluarganya menjadi sistem sokongan yang kuat sepanjang menghadapi ujian rumah tangga.
“Walaupun kami sudah berpisah, saya masih memikul tanggungjawab besar terhadap anak-anak. Saya masih ada sokongan kuat daripada keluarga, terutama kerana saya masih ada ayah.
“Jadi saya rasa memang banyak cabaran untuk menjadi seorang ibu tunggal tapi saya sudah banyak bersama dan bergaul dengan ramai ibu tunggal lain.
“Jadi saya rasa saya sedang belajar langkah demi langkah tentang bagaimana menguruskan keluarga sendiri. Sebelum ini kita ada sokongan daripada suami, sekarang kita perlu lakukan semuanya sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding pengesahan lafaz cerai hari ini.
Berkongsi lanjut, doktor gigi bertauliah itu memaklumkan kerjaya profesionalnya sebagai pengamal perubatan tidak terjejas.
“Sekarang saya masih berkhidmat di klinik sayalah. Tak ada apa-apa lagi setakat ini.
“Tak ada gangguan lagi setakat ini tentang klinik saya. Jadi saya masih bekerja di sana, dan dalam masa sama, saya juga ada jugalah bekerja di luar,” ujarnya lagi.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Afifah atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE














