JELI – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan teman wanitanya yang merupakan pelajar sekolah yang disyaki berduaan di dalam sebuah kereta dicekup selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kampung Rabbana di sini hari ini.
Pasangan kekasih itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki kira-kira lima kilometer.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) yang menjalankan rondaan melihat sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Rual Dalam.
Menurutnya, lelaki itu bertindak memecut kereta dipandunya dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis dijalankan.
“Anggota MPV mengejar kereta itu dan pemandunya menghimpit kenderaan polis sebelum berjaya ditahan di Kampung Rabbana di sini.
“Pemandu kereta itu bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. Pemeriksaan di dalam kereta itu turut mendapati ada seorang remaja perempuan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, lelaki dan remaja itu dipercayai terkejut dengan kehadiran anggota polis yang hadir untuk membuat pemeriksaan semasa mereka berada di dalam kereta di tepi jalan.
Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu kereta itu merupakan pelajar di sebuah IPT di daerah ini manakala remaja perempuan itu masih bersekolah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis dan memandu secara berbahaya. – KOSMO! ONLINE














