JAKARTA – Penduduk Tapanuli Selatan, wilayah Sumatera Utara terkejut melihat serpihan kayu balak berselerak selepas dihanyutkan arus banjir dan tanah runtuh, lapor laman berita Detik hari ini.
Banjir lumpur menghanyutkan kayu balak merentasi Tapanuli Selatan, Tapanuli Tengah dan Sibolga. Bukan sahaja di Sumatera Utara, kayu balak turut hanyut di sepanjang Pantai Air Tawar di Padang, wilayah Sumatera Barat.
Asal usul kayu balak itu buat masa ini tidak diketahui. Namun, Kementerian Perhutanan mengesyaki bahawa ia berasal daripada pemegang hak tanah (PHAT) yang terletak di kawasan penggunaan tanah lain (APL).
Ahli Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPRI), Johan Rosihan mengesyaki kayu balak itu berasal daripada kegiatan pembalakan haram.
“Ini bukan sekadar bencana alam tetapi isyarat kuat bahawa kemusnahan hutan kita telah mencapai tahap yang sangat serius,” kata Johan. – AGENSI














