Sesi persekolahan tahun ini hampir tamat, di saat ini ramai ibu bapa dan guru mengambil kesempatan untuk melihat kembali cabaran emosi, sosial dan akademik yang ditempuhi murid sepanjang tahun 2025.
Dalam renungan itu, satu isu yang kembali mengetuk pintu perhatian kita ialah kes keganasan termasuk buli di sekolah.
Semakin hari, ibu bapa semakin gusar apabila apa yang sepatutnya menjadi ‘ruang selamat’ untuk anak iaitu kawasan sekolah, dilihat semakin goyah apabila banyak kes keganasan yang direkodkan sejak kebelakangan ini.
Menurut Lydia Lee yang merupakan Pengurus Malaysian Programmes and Grants World Vision Malaysia iaitu sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa yang menumpukan usaha membantu kanak-kanak dan keluarga, keganasan di sekolah bukan berlaku secara tiba-tiba.
“Ia lahir apabila kesejahteraan emosi diketepikan untuk pencapaian keputusan peperiksaan dan apabila bimbingan moral diletakkan sepenuhnya di bahu guru yang sudah pun terbeban.
“Selain itu apabila keluarga yang sibuk secara tidak sengaja mengabaikan tanda-tanda awal yang sepatutnya menjadi amaran.
“Setiap kali insiden keganasan berlaku, kita memberikan reaksi seperti marah dan mendesak tindakan disiplin yang lebih tegas. Namun, hukuman selepas kemudaratan berlaku, tidak mampu menangani punca sebenar yang mencetuskannya,” katanya.
Lydia menambah, apabila insiden membimbangkan berlaku di sekolah, tindak balas kita adalah menuntut peraturan yang lebih ketat. Begitu pun, reaksi sebegini jarang menyentuh akar permasalahan.
Katanya, peraturan mungkin membetulkan tingkah laku, tetapi ia tidak boleh menyembuhkan kesunyian, mengajar empati atau membina daya tahan emosi.
“Pencegahan memerlukan sesuatu yang lebih mendalam dan lebih berperikemanusiaan iaitu sifat empati yang konsisten, perhubungan yang bermakna dan tanggungjawab bersama antara keluarga dan sekolah.
“Persekitaran sekolah yang aman dan saling menghormati tidak dapat dicapai melalui ketakutan atau hukuman semata-mata.
“Ia perlu bermula dengan empati, tanggungjawab dan kehadiran daripada orang dewasa dan sistem-sistem yang membentuk kehidupan anak-anak,” katanya.
Ujar Lydia, apabila peranti seperti tablet menjadi teman tetap dan permainan video digunakan untuk mengurus emosi, kanak-kanak terlepas peluang membina kemahiran penting seperti membaca ekspresi wajah, mengurus perasaan tidak selesa dan menghadapi konflik dunia nyata.
“Kanak-kanak memerlukan orang dewasa yang hadir secara emosi, bukan sekadar penyedia keperluan.
“Mereka perlu tahu bahawa apabila sesuatu mengganggu mereka, mereka boleh mendapatkan sokongan daripada orang dewasa yang dipercayai, bukan melarikan diri di sebalik skrin,” katanya.
Konklusinya, mendengar suara anak-anak adalah asas pencegahan.
Apabila orang dewasa meluangkan masa memahami kekecewaan, ketakutan dan harapan mereka, kita dapat mengesan masalah lebih awal sebelum ia bertukar menjadi agresif atau putus asa.
Mewujudkan ruang selamat untuk dialog, di rumah dan di sekolah, mengajar kanak-kanak bahawa perasaan mereka penting dan rasa empati adalah kekuatan, bukan kelemahan.
















