fbpx
Fadil.

SOP serbuan ditambah baik, fokus siasatan tumpu penganjur premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan memberi impak positif dan tidak menjejaskan keberkesanan siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelaksanaan operasi hingga membawa kepada tangkapan perlu melalui proses yang tersusun.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa perkara teknikal dikenal pasti perlu ditambah baik supaya bukti yang dikumpulkan tidak tercicir.

“Apabila pegawai penguat kuasa menjalankan operasi, kita mahu ia memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu serbuan dan tangkapan dibuat, tetapi akhirnya ada bukti yang tidak dapat ditentukan mengakibatkan siasatan tidak dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan serbuan pusat spa dan kesihatan yang dijalankan di sebuah premis di Chow Kit, Jumaat lalu.

Fadil berkata, setiap kesalahan mempunyai intipati undang-undang yang mesti dipenuhi.

Katanya, tidak mudah untuk menuduh seseorang, termasuk dalam kesalahan meliwat atau aktiviti sosial negatif.

“Polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama kini memperkukuh kerjasama serta perkongsian maklumat risikan bagi memastikan premis berkenaan tidak kembali beroperasi.

“Ini antara perkara paling mustahak, kita bekerjasama rapat dengan PBT dan Jabatan Agama, berkongsi maklumat untuk kesejahteraan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dalam operasi tersebut dibebaskan dengan jaminan polis, namun fokus utama kini tertumpu kepada dalang dan penganjur premis tersebut.

“Itu yang membimbangkan saya dan pasukan, terhadap penganjur inilah yang kita akan ambil tindakan secara penuh,” katanya.

Semalam, seramai 171 lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini dibebaskan selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak oleh mahkamah.

Permohonan reman itu ditolak berikutan kelewatan permohonan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Difahamkan, prmohonan itu lewat dikemukakan berikutan proses pengelasan perlu dilakukan satu persatu membabitkan jumlah tangkapan yang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN