fbpx
M Kumar pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Lelaki Korea kena culik rupanya buruan Interpol babit judi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes culik seorang lelaki Korea Selatan yang diselamatkan polis pada 21 April lalu mendedahkan mangsa sebenarnya buruan pihak berkuasa negaranya.

Mangsa diculik pada 17 April lalu ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Genting Highlands sebelum dipukul, diikat dan dikurung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa berusia 40 tahun itu diekori sebelum kenderaannya dipintas.

“Dia ditarik keluar, dipukul dan dibawa ke lokasi tidak diketahui. Polis kemudian menerima dua laporan daripada rakan mangsa dan seorang wanita yang mendakwa isterinya dengan kes kemudian diambil alih Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Pahang dan Melaka.

“Serbuan di sebuah rumah di Melaka berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan tiga lelaki Korea berusia 28 hingga 40 tahun. Sepanjang ditahan, mangsa diugut dengan objek menyerupai pistol,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek menuntut tebusan AS$ 10 juta (RM39.6 juta) dan sebanyak AS$ 3 juta (RM14.1 juta) telah dibayar sebelum dipindahkan ke beberapa akaun.

“Polis berjaya kesan dan beku AS$ 2.46 juta (RM11.6 juta) melibatkan tiga akaun selama sembilan bulan,” ujarnya.

Menurut beliau, suspek direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 April 2026 dan semakan mendapati dua suspek masuk secara sah, manakala seorang tiada rekod.

“Siasatan bersama Kedutaan Korea mengesahkan mangsa adalah buruan dengan notis merah Interpol kerana disyaki terlibat perjudian haram dan jenayah terancang. Mangsa dipercayai berada di Malaysia sejak 2016 dan sering berpindah,” katanya.

Tambhanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan siasatan lanjut termasuk kemungkinan mangsa dihantar pulang sedang dipertimbangkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN