JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas meminta rasuah sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di perairan Johor Selatan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Kamarulzaman Ali, 53, yang masih bertugas sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM1,500 untuk setiap trip penyeludupan rokok yang berjaya mendarat di perairan Johor Selatan melalui dua individu.
Tindakan itu sebagai suatu dorongan agar tertuduh tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di daerah Kota Tinggi, yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah warung di Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi sekitar Oktober 2022.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan seksyen tersebut tiada jaminan dibenarkan.
“Pendakwaan juga memohon agar mahkamah membenarkan pertuduhan dipindahkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas alasan tertuduh berdepan dengan satu lagi pertuduhan rasuah melibatkan suapan RM34,000,”katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Kamarulzaman, S. Sangkari berhujah supaya mahkamah membenarkan jaminan atas beberapa faktor termasuk tertuduh yang masih bertugas dan menanggung ibu yang uzur, isteri serta anak berusia 21 tahun yang masih belajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Tertuduh mempunyai gaji bersih RM6,204. Pihak kami juga memohon agar pasport tertuduh tidak ditahan Mahkamah berikutan tiada kebarangkalian tertuduh melarikan diri, dan jika tertuduh mempunyai tugasan ke luar negara, pergerakannya akan dimaklumkan kepada Mahkamah.
“Pihak peguam juga memohon agar tertuduh diberi jaminan yang munasabah RM10,000,”hujahnya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu melaporkan diri sebulan sekali tanpa gagal di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Dalam pada itu ‘Athirah dalam permohonannya terhadap Mahkamah, meminta kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948, berikutan tertuduh juga telah didakwa dengan satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan pada 31 Oktober lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah SPRM Kuala Lumpur.-KOSMO! ONLINE














