CAMERON HIGHLANDS – Laluan ke Apartment Puncak Arabella dekat Tanah Rata di sini yang mempunyai kira-kira 700 penghuni terputus susulan kejadian tanah runtuh di laluan utama ke apartmen berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu melibatkan runtuhan tanah di lereng bukit berhampiran Blok C apartmen berkenaan.
“Keadaan ini menyebabkan laluan ke apartmen berkenaan yang dihuni anggaran 700 penduduk terputus hubungan.
“Setakat ini tiada mangsa tertimbus berdasarkan kepada penilaian pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),”katanya di sini hari ini.
Menurutnya susulan kejadian pihak polis bersama JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi tinjauan keselamatan.
Katanya, agensi berkaitan juga telah dimaklumkan bagi memastikan kebajikan dan bantuan kepada penghuni apartmen berkenaan.
“Setakat ini tiada lagi penduduk diarahkan keluar dan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan membuat penilaian segera esok serta ‘temporary precaution slope’ akan dibuat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














