PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia terkandas banjir di Hatyai, Thailand terpaksa menadah hujan di koridor untuk kegunaan harian selepas hotel yang didiami tiada bekalan air ekoran bencana bah.
Menerusi perkongsian seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Farhana pada siaran langsung TikTok Nrfrhna, wanita itu menceritakan terkandas di sebuah hotel di Hatyai selama enam hari bersama suami, dua anak dan ibu mentuanya.
Katanya, selain menadah air hujan, dia juga mengumpulkan saki-baki air mineral di setiap bilik hotel untuk kegunaan mereka.
“Air tak ada, macam mana nak berak, kencing. Suami saya kemudian tadah air hujan. Dia cari apa-apa baldi dan kita letak dekat luar tadahlah air hujan.
“Kemudian, berkerumun ramai-ramai (penghuni hotel lain) letak (bekas atau baldi) di koridor tadah air hujan. Esoknya air dah penuh boleh buat mandi. Selain itu, saya buat misi dengan anak sebab dia pun bosan di hotel.
“Kami kutip air mineral sama ada yang dah buka atau belum dari bilik hotel yang terbuka. Yang dah dibuka (penutup) itu (kami kumpul) boleh buat basuh pinggan ke, berak kencing anak ke,” katanya pada siaran langsung tersebut.
Wanita itu berkata, bekalan elektrik di hotel tempat dia menginap juga terputus, manakala untuk mendapatkan jaringan internet perlu naik ke tingkat 12.
“Pihak hotel juga sangat baik dan tidak menghalau rakyat Malaysia yang terkandas. Kami duduk secara percuma dan mereka tidak minta bayaran. Makanan juga diberi dan bermula Isnin, makanan dihadkan,” katanya.
Dia berkata, mereka sekeluarga keluar dari hotel pukul 7 pagi semalam serta meredah banjir dengan berjalan untuk ke Central Hatyai yang jaraknya kira-kira 6 kilometer.
“Turun dari hotel paras pinggang, kemudian paras betis dan sampailah naik sikit dah reda. Kami cari benda yang boleh dijadikan sampan untuk bawa anak keluar dari situ.
“Masa kami berjalan, memang ramai orang yang ke Central Hatyai. Sampai sana, menangis juga rasa. Rasa ‘Ya Allah, dah boleh balik dah ni’,” katanya.
Wanita itu berkata, dia sekeluarga kemudian menaiki tuk-tuk ke Danok, seterusnya menaiki kereta untuk ke hotel di Alor Setar, Kedah sebelum pulang menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kami ke sana naik Proton S70, kereta baru beli. Tak boleh tuntut insurans. Suami saya dah buka bateri semua untuk kurangkan kerosakan. Tapi kerosakan itu tetap ada. Kereta masih ada di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE















