JASIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang melanggar sebatang pokok yang tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi, mangsa yang berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.57 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jasin Bestari yang diketuai Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan 1 Abdul Razak digerakkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebatang pokok telah tumbang di laluan jalan raya dan seorang penunggang motosikal telah melanggarnya.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nmax disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok dan pulang ke balai selepas keadaan dipastikan telah selamat.- KOSMO! ONLINE















