PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai makan terjatuh ke dalam lubang sedalam tiga meter di Apartmen Sri Meranti, Ara Damansara, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.16 petang.
Katanya, seramai lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi tersebut.
“Sebaik tiba pihak kami mendapati berlaku mendapan dan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50-an terjatuh ke dalam lubang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa dikeluarkan pada pukul 6.54 petang dan mengalami kecederaan di pinggang. – KOSMO! ONLINE















