PETALING JAYA – Ribut tropika Senyar yang bakal melanda melibatkan kawasan antara Perak dan Selangor pada tengah malam ini merupakan kali pertama berlaku di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, namun begitu Malaysia pernah mengalami ribut tropika secara langsung sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 2001.
Katanya, ribut berkenaan berlaku pada 26 Disember 1996 melibatkan ribut tropika Greg di barat Sabah manakala ribut Vamei pada 26 Disember 2001 yang berlaku di selatan Semenanjung.
“Malaysia berada di luar kawasan laluan ribut tropika kerana kedudukan Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa.
“Kalau masuk kejadian (ribut tropika Senya) pada hari ini, ia merupakan kejadian ke tiga dan istimewanya ia berlaku di Selat Melaka yang tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar tergempar berhubung ribut berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan nasihat sistem cuaca yang dikemaskini setiap tiga jam bermula pada Ahad lalu apabila sistem tersebut telah memasuki kawasan pemantauan MetMalaysia laitu dalam lingkungan latitud 0 darjah hingga 20 daejah Utara dan longitud 95 darjah hingga 130 darjah Timur.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














