PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pembentukan karakter dilaksanakan sebagai satu program yang akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) .
Pembentukan karakter merupakan elemen penting dalam melahirkan insan sejahtera yang beradab selaras dengan hasrat KP2027.
Usaha ini dilaksanakan melalui empat elemen teras karakter iaitu penyayang, berdaya tahan, berupaya memimpin dan warganegara aktif yang diintegrasikan dalam semua mata pelajaran.
Berkongsi perkara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Nooraini Kamaruddin berkata, pembentukan karakter bukan mata pelajaran baharu kerana tiada dokumen kurikulum disediakan untuk program itu.
Namun begitu, bagi memudahkan guru melaksanakan program ini, Panduan Guru Program Pembentukan Karakter disediakan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurutnya, pembentukan karakter dilaksanakan melalui dua pendekatan berbeza mengikut peringkat tahap persekolahan dengan penekanan bahawa semua guru adalah guru pembentukan karakter.
“Bagi pelaksanaan pada peringkat prasekolah, program pembentukan karakter dilaksanakan pada bila-bila masa yang sesuai sepanjang sesi persekolahan.
“Antara amalan yang diterapkan kepada murid prasekolah termasuklah mengajar murid memberi salam kepada guru, menyusun kasut dengan kemas, makan bersama ketika waktu rehat serta membersihkan meja selepas makan.

“Walau bagaimanapun, bagi sekolah rendah dan menengah pula, pengintegrasian pembentukan karakter dilaksanakan mengikut bidang, tema dan disiplin ilmu dalam setiap mata pelajaran bagi memastikan pembentukan karakter murid berlaku secara holistik.
“Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Sains, guru mengajar tiga komponen utama iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai dan sahsiah berkaitan subjek itu.
“Dalam konteks ini, murid bukan sahaja mempelajari ilmu sains, tetapi turut diajar kemahiran manipulatif seperti mengendalikan alat dan radas dengan betul, selain diterapkan nilai jujur ketika melakukan amali serta bertolak ansur dengan rakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama media berhubung KP2027 dan Kurikulum Prasekolah 2026 di sini kelmarin.
Selain itu, pembentukan karakter juga dilaksanakan sebagai satu program yang memperuntukkan masa 60 minit seminggu yang dimasukkan dalam jadual waktu persekolahan.
Program ini dilaksanakan secara praktikal (hands-on) dalam sesi PdP bagi membentuk karakter murid sebagaimana yang dihasratkan.
“Misalnya, jika kelas kotor, mereka kena bersihkan kelas. Kalau kawan ada masalah, mereka terus beri sokongan moral.
“Aktiviti pembentukan karakter dalam tempoh 60 minit itu perlu dibudayakan supaya menjadi nilai murni dan amalan murid,” jelasnya.
Program pembentukan karakter itu diyakini dapat melahirkan generasi murid yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga kaya dengan sahsiah, empati dan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Nooraini menjelaskan, bermula 2027, mata pelajaran Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu hanya diajar kepada murid Tahun 1 dan 2.
Katanya, mata pelajaran Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu itu menggabungkan elemen sains, muzik, pendidikan seni visual, pendidikan kesihatan, TVET, teknologi dan digital.
“Namun, mata pelajaran lain masih kekal iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil/Cina, Pendidikan Islam/Pendidikan Moral, Matematik dan Pendidikan Jasmani.
“Mata pelajaran ini diajar kepada murid secara bertema. Sebagai contoh, tajuk mengenal anggota badan. Murid akan diajar untuk mengenal anggota badan (Sains), menyanyi berkait anggota badan (Seni/Muzik), menghasilkan capan anggota badan (Seni) dan mengenal pasti anggota badan yang tidak boleh disentuh oleh orang lain (elemen kesihatan).
Dalam pada itu, Nooraini berkata, Kurikulum Prasekolah 2026 pula antara lain menerapkan pemantapan pembelajaran secara bersepadu, kemahiran pengurusan diri, pembentukan karakter, pengenalan teknologi dan digital serta pemupukan minat membaca. -KOSMO! ONLINE














